This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Highland Towers: MPAJ tidak tanggung kerugian

18/02/2006 Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 17 Feb. - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak bertanggungjawab atas kerugian ekonomi 73 penghuni Blok 2 dan 3 kondominium Highland Towers, sebelum dan selepas tragedi runtuhan Blok 1 yang mengorbankan 48 nyawa, 13 tahun lalu.


Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong yang mengetuai sidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Arifin Zakaria membuat keputusan itu ketika membenarkan dengan kos rayuan MPAJ.

Bagi tanggungan kerugian sebelum tragedi, panel tiga hakim itu memutuskan sebulat suara bahawa MPAJ tidak bertanggungjawab namun dalam isu kecuaian selepas tragedi, mereka mencapai keputusan majoriti 2-1 melepaskan MPAJ daripada liabiliti.

Hakim Steve Shim berkata, MPAJ atau majlis tempatan sebelumnya, Majlis Daerah Gombak (MDG) dilindungi sepenuhnya daripada sebarang liabiliti sebelum tragedi di bawah Seksyen 95(2) Akta Bangunan, Parit dan Jalan 1974 (Akta 133).

Namun, katanya, beliau bersetuju dengan keputusan hakim bicara bahawa MPAJ telah cuai apabila mungkir janji untuk melaksanakan pelan induk saliran di kawasan terjejas selepas tragedi runtuhan Blok 1 kondominium Highland Towers.

``Pada pandangan saya, MPAJ tidak boleh berselindung di bawah peruntukan Seksyen 95(2) Akta 133 kerana ia satu kecuaian akibat gagal membuat formula dan melaksana kerja atau pelan tertentu; dan bukan kecuaian dalam melaksanakan kerja atau pelan itu,'' katanya.

Tambah beliau, kegagalan MPAJ untuk membuat formula dan melaksanakan pelan induk saliran itu telah menyebabkan kerugian kepada penghuni-penghuni yang terpaksa mengosongkan apartmen mereka di Blok 2 dan 3.

Katanya, beliau tidak fikir ia merupakan satu kepentingan awam bahawa majlis tempatan seperti MPAJ patut dibenarkan untuk menolak tuntutan liabiliti kerana kecuaian yang dilakukan di luar perlindungan undang-undang.

MPAJ merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan peratusan liabiliti 15 peratus ke atas majlis itu, jurutera Wong Yuen Kean (10 peratus), Arab-Malaysian (30 peratus), Metrolux Sdn. Bhd. dan MBF Property Services Sdn. Bhd. (20 peratus).

Mahkamah Rayuan melepaskan MPAJ daripada tanggungan kerugian selepas tragedi; tetapi memutuskan ia bertanggungjawab terhadap ganti rugi sebelum runtuhan apabila mahkamah itu membenarkan rayuan balas penghuni kondominium itu.

Di Mahkamah Persekutuan, 73 penghuni dua blok kondominium itu merayu balas terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepaskan MPAJ daripada tanggungan kerugian selepas tragedi runtuhan.

Pada 4 Disember 1996, pemilik-pemilik kondominium Highland Towers telah mengemukakan saman terhadap 10 defendan bagi menuntut ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM31 hingga RM35 juta.

Mereka terpaksa berpindah dua atau tiga hari selepas Blok 1 kondominium itu runtuh dan menyebabkan 48 orang terbunuh pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 11 Disember 1993.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Presiden Persatuan Pemilik dan Penghuni Highland Towers, Dr. Benjamin George berkata, mereka sedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi terpaksa menerima kenyataan tersebut.

``Ia merupakan jalan penghujung dan kami menerima keputusan mahkamah. (Cuma) kami terkejut (dengan keputusan itu). Tetapi kami tetap menerima penghakiman terakhir ini,'' katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.